SELAMAT DATANG KE BLOG BICARA GURU

Khamis, 12 April 2012

Simpulan Bahasa

1. Abang Angkat
Maksud: Lelaki yang telah di akui sebagai abang, tetapi tidak mempunyai pertalian darah dengan orang yang mengakuinya.
Contoh Ayat: Hamidah mempunyai seorang abang angkat bernama Hamzah.

2. Abang Ipar
Maksud: Suami kepada kakak sendiri; abang kepada isteri atau suami.
Contoh Ayat: Hafiz ialah abang ipar Umar.

3. Abang Kandung
Maksud: Abang yang seibu sebapa.
Contoh Ayat: Liza tinggal bersama abang kandungnya setelah kedua-dua ibu bapa mereka meninggal dunia.

4. Abu Angin
Maksud: Telah musnah sama sekali.
ContohAyat: Kota yang melambangkan ketamadunan bangsa itu telah menjadi abu angin kerana diserang oleh tentera Tatar.

5. Abu Jahal
Maksud: Orang yang jahat dan tidak suka akan kebaikan.
Contoh Ayat: Abu Jahal kampung ini telah diberkas polis awal pagi tadi kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes rompakan.

6. Abu Lahab
Maksud: Orang yang jahat dan tidak suka akan kebaikan.

7. Abu Nawas
Maksud: Orang yang suka berhelah.
Contoh Ayat: Kami memanggilnya Abu Nawas kerana dia pandai berhelah apabila ditanya tentang sesuatu.

8. Ada Akal
Maksud: Cara menyelesaikan sesuatu masalah.
Contoh Ayat: Syeila ada akal untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi oleh ayahnya.

9. Ada Angin
Maksud: Orang yang berperangai luar biasa pada masa tertentu.
Contoh Ayat: Alin ada angin, ada kalanya dia peramah dan ada kalanya pula dia marah-marah.

10. Ada Bakat
Maksud: Berkebolehan dalam sesuatu lapangan seperti melukis, mengarang dan sebagainya.
Contoh Ayat: Izzah ada bakat menjadi penulis novel.

11. Ada Can
Maksud: Ada peluang.
Contoh Ayat: Nampaknya ada can kita jadi orang kaya kalau perniagaan kita ini berjaya, kata Amin kepada Umair.

12. Ada Gaya
Maksud: Ada ciri-ciri yang memperlihatkan kebolehannya.
Contoh Ayat: Osman ada gaya menjadi pelakon filem kerana dia tinggi dan tampan.

13. Ada Hati
Maksud: Keinginan.
Contoh Ayat: Walaupun berpendapatan kecil Jaya ada hati hendak membuka perniagaannya sendiri suatu hari nanti.

14. Ada Jalan
Maksud: Ada cara untuk menyelesaikan sesuatu perkara.
Contoh Ayat: Hamdan ada jalan untuk membiayai perbelanjaan anaknya di institusi pengajian tinggi iaitu dengan membuat pinjaman di bank.

15. Ada-Ada
Maksud: Ada sesuatu.
Contoh Ayat: Ada-ada sahaja yang diceritakan oleh Abu sekembalinya dia dari bandar.

16. Adat Balai
Maksud: Adat dalam istana raja.
Contoh Ayat: Semasa di dalam istana kamu hendaklah menjaga adat balai.

17. Adik Angkat
Maksud: Seseorang yang telah diakui sebagai adik sendiri tetapi tidak mempunyai pertalian darah.
Contoh Ayat: Jamilah adik angkat saya, ibunya menyerahkan dia kepada keluarga kami untuk dipelihara.

18. Adik Ipar
Maksud: Adik kepada isteri atau suami.
Contoh Ayat: Adik ipar saya seorang doktor.

19. Adik Kandung
Maksud: Adik daripada ibu bapa yang sama; seibu sebapa.
Contoh Ayat: Sulaiman sedang mencari adik kandungnya, Hasnah yang telah terpisah sejak sepuluh tahun lalu.

20. Adu Buku = Beradu Buku
Maksud: Bertinju.
Contoh Ayat: Samad beradu buku dengan Wahid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan